Thursday, April 17, 2014

Ikhwah jangan cair!



 Bukan ikhwah, bukan. 

Bukan cair dengan akhawat.

Bukan juga cair pada hadek-hadek yang comel-comel dan jambu-jambu itu.

Jatuh kerusi.

Ehem.

Kita hidup di zaman yang penuh mencabar dan cukup menggarukan kepala. Di zaman ini, peluang untuk melakukan maksiat lebih mudah daripada peluang untuk melaksanakan ibadat. Di zaman ini, ruang untuk berbuat kemungkaran lebih besar daripada ruang untuk menyebarkan kebaikan.

Maksiat merata-rata. Kemungkaran berleluasa. Jahiliyyah dan taghut bermaharajalela.

Ke mana-mana pon kita pergi, bila-bila masa yang kita ada, kita akan sentiasa diasak dan diuji bertubi-tubi dengan mehnah berupa tarikan hawa dan godaan nafsu ini. 

Untuk mengajak gelpren ringan-ringan dan berzina itu lebih mudah daripada duduk di hadapan tok kadi dan mengucapkan lafaz nikah.

Untuk mengamalkan riba' di Cimbank, Maibank, Hup Seng Bank dan yang seangkatan dengannya itu lebih mudah daripada mencari perkhidmatan perbankan yang benar-benar halal dan tayyibah.

Untuk menonton rancangan-rancangan yang dedah sana, mencarut sini dan gosip-gosip liar lebih mudah daripada rancangan-rancangan ilmiah dan yang mengajak kepada Allah. 

Untuk berparti buih dan cat dan berdangdut sampai semput lebih mudah daripada ke masjid bersama-sama majlis-majlis ilmu.

Untuk membuang masa, hanyut dan alpa dengan MukaBuku, TiubAnda, Insta dan yang seangkatan dengannya, jauh lebih mudah daripada menghabiskan masa dengan al-Quran atau kitab-kitab khazanah lama.

Hangus. Rentung. 

Kita hidup di zaman fitnah. Zaman di mana garisan pemisah antara halal dan haram tidak dapat dibezakan dengan pasti. Zaman di mana para pelaku maksiat itu lebih dipandang mulia daripada mereka yang bersungguh-sungguh menjauhkan diri daripadanya. Zaman yang mementingkan pencapaian material dan memandang enteng kepentingan aspek spiritual.

Sehinggakan... Sehinggakan... Para dua't juga terjatuh sama di dalam perangkap syaitonirojim yang sungguh licik itu. Mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang agama dan saksi ke atas kebenaran itu pon melakukan perkara-perkara yang entah syubhah, entah haram dek fitnah tahap raksasa gorgon yang melanda kita pada hari ini.

"Eh ok je kot nta berhubungan dengan ukhti tu. Apa yang nak risaukan? Pasal dakwah kan? InshaAllah ana yakin nta qawiyy."


"Laaah apa salahnya kita tengok movie...? Kan macam-macam ibrah dan pengajaran yang kita boleh dapat daripada movie tu? Ish rugi jadi orang kolot ni!"


"Ala lepak la. Solat tu karang pon takpe. Kita habiskan dulu musyawarah kita ni. Untuk tarbiyah dan dakwah juga kan..? Isyak pon sunat dilambat-lambatkan apa."


"Syadid sangat la kau ni. Sikit-sikit jahiliyyah. Sikit-sikit salah. Zaman sekarang ni kenalah moden, ikut peredaran zaman lah. Kalau tak macam mana kita nak sampaikan dakwah??"


"Akhi penting kot kita cari harta ni. Dakwah pon perlukan duit. Nak buat tarbiyah zaman sekarang ni, sangat-sangatlah perlukan wang. So takpelah kalau nta tak mampu nak bawak bulatan gembira atau berbulatan gembira sebab sibuk mencari harta. InshaAllah Allah tahu niat nta."

Adeh.

Entahlah. Sukar untuk saya menggambarkan apa yang bermain di kepala saya sekarang ini. Cuma saya cukup terkesan dengan hadith yang satu ini:
Dari Anas r.a. berkata, "Sesungguhnya anda sekalian sekarang melakukan perbuatan-perbuatan yang anda anggap sangat enteng walhal pada masa Rasulullah SAW perbuatan-perbuatan semacam itu kami anggap termasuk hal-hal yang merosak agama."

[Hadith riwayat Bukhari]

Gulp gulp. Nanges.

Sikap kita yang terlalu mudah meringan-ringankan sesuatu urusan, mencari rukhsah (kemudahan) dalam setiap perkara yang kita lakukan, terutamanya dalam hal-ehwal tarbiyah dan dakwah, menjadikan kita semakin lama semakin tidak sensitif. Kita semakin gemok untuk bermujahadah. Semakin malas dan culas untuk berkorban. Dan lebih suka berselesa dalam setiap perkara.

Dengan kata lain, kita semakin mencair. Ya, iman kita wahai ikhwah (dan akhawat) sudah cair!

Tunduk malu. 


Mungkin kerana itulah, zaman ini sudah terlalu jauh dengan zaman ar-Rasul SAW. Iman kita sekiranya hendak dibandingkan dengan iman para sahabat r.a., bukan lagi seperti langit dengan bumi, tepi sudah terkeluar dari galaksi Bimasakti ini. Adoila. 


Sepertimana sabda Nabi SAW:

"Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata: Saya tidak ingat sama ada (Nabi SAW) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya." 

[Riwayat Bukhari dan Muslim] 

Hiris bawang seguni. 

Lantas, apa lagi yang tinggal untuk kita? Masih ada harapankah untuk kita? Ke manakah kita patut melarikan diri? 

Ada, sudah tentu ada. Dan tidak, anda tidak perlu melarikan diri ke mana-mana.    

Suatu hari, Abu Ubaidah al-Jarrah pernah bertanyakan kepada Rasulullah SAW:

"Wahai Rasulullah s.a.w, adakah manusia yang lebih baik dari kami? (sedangkan) Kami Islam bersama-sama kamu dan kami berjihad bersama-sama kamu."

Apa jawapan baginda SAW?

"Ya (ada) iaitu kaum yang berada selepas dari kamu, mereka beriman denganku, sedangkan mereka tidak pernah melihatku." - [Riwayat Imam Ahmad] 

Allah Allah. Mata berkaca-kaca.

Ya, berusahalah sebaik-baiknya untuk berpegang dengan sunnah yang ditinggalkan oleh ar-Rasul SAW. Peganglah ia dengan kejap, seperti kita memegang nyawa kita sendiri. Gigitlah ia dengan kemas, seperti kita menggigit ayam goreng di hadapan bakal mak mertua kita nanti. Eh.

Meski susah, walau payah, namun itu sahajalah satu-satunya cara untuk kita kekal berada di atas jalan assolah (asli). Kita tidak punya panduan dan bimbingan yang lebih baik daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Berusahalah dengan bersungguh-sungguh, dengan hidung kembang kempis penuh kegigihan, untuk menjadi seorang hamba Allah yang taat. Bermujahadahlah sebaik-baiknya untuk menjadi seorang manusia yang sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Dan korbankan segala keselesaan dan kegedikan pada diri untuk mengejar redhaNya yang dipenuhi dengan onak dan duri.

Meski zina itu tampak lazat.

Meski berseronok-seronok itu sungguh hebat.

Meski mengejar kekayaan itu sumpah nikmat. 

Kerana pada pengorbanan itu ada kelazatan. Pada mujahadah itu ada kemanisan. Dan kerana pada keseksaan menanti itu, ada nikmat kesabaran.
"Dan adapon orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya, maka sungguh sorgalah tempat tinggal(nya)."
[an-Nazia't, 79:40-41]

Ayo wahai saudara-saudaraku! Kita pekatkan amal kita! Kita pekatkan tarbiyah kita! Dan kita pekatkan keimanan kita! 

Kerana pada diri seorang rajul ammah itu, tiada makna kecairan pada dirinya! Pada diri seorang mujahid muda itu, tiada erti bermalas-malasan dan bermudah-mudahan! Dan pada diri seorang syabab yang penuh hamasah itu, tiada masa untuk dibazirkan!

Ayo! Jangan jadi ikhwah yang cair lagi mencairkan! 

-gabbana-     

Dipetik dari: angelwearsgucci.blogspot.com