Monday, August 15, 2016

MENGAPA AWAL-AWAL AGAMA KENAL ALLAH?

Hati yang belum dicemari adalah hati yang tidak diberikan kepada insan yang bergelar manusia. Cinta seorang lelaki kepada seorang wanita. Cinta yang boleh membawa kealam perkahwinan. Malah ada juga cinta yang membawa ke gerbang kemurkaan Allah. Iaitu cinta nafsu. Cinta yang tidak berlandaskan syariat islam.

Kerana nafsu semata-mata maruah tergadai.  Cinta yang langsung tiada batasan. Segala keinginan nafsu dituruti. Itulah cinta nafsu.. Sengsara dalam kenikmatan. Neraka yang menanti.

Apa kata mulai detik ini, hari ini dan saat ini kita usahakan untuk lahirkan cinta yang Allah redha.. Iaitu cinta kepadaNYA.. Setelah itu dengan izinNYA akan DIA hadirkan cinta kepada insan dalam kehidupan kita.

Ya. Memang senang untuk diungkap bahawa kita mencintaiNYA. Tapi bagaimana untuk melaksanakannya? Dan apa petanda yang kita benar-benar sudah jatuh cinta kepadaNYA?
Bacalah lagi perkongsian dibawah..

MENGAPA AWAL-AWAL AGAMA KENAL ALLAH?
Rasulullah SAW berjuang selama tiga belas tahun di Makkah. Itulah masa Rasulullah berdakwah dan mengumpul pengikut-pengikutnya. Mula-mula secara sembunyi-sembunyi dan kemudian secara terang-terangan.

Dalam masa tiga belas tahun itu, Rasulullah hanya 'membawa Tuhan' dan memperkenalkan Tuhan kepada para Sahabat. Dalam majlis yang rasmi atau tidak rasmi, dalam majlis keramaian, apabila berjalan-jalan dengan para Sahabat, malahan pada setiap masa dan ketika Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala-gala sifat yang ada pada Tuhan.

Segala sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Tuhan, cukup sensitif dan peka dengan Tuhan. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Tuhan.

Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka. Ramai di kalangan Sahabat yang menjadi mabuk dengan Tuhan kerana terlalu sangat takut dan rindunya.


Perasaan mabuk, takut dan cinta ini sangat kuat dan mendalam hingga adakalanya hati-hati para Sahabat tidak dapat menanggung bebannya. Ada Sahabat yang terus mati kerana mengingatkan kebesaran Allah. Ada yang mati apabila ada orang menyebut nama Allah. Manakala yang jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri lebih ramai lagi. Bila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka.

Namun dengan hati yang begitu mabuk dan rindu pada Tuhan, mereka tidak mempunyai jalan atau cara untuk melepaskan perasaan mereka. Mereka tidak ada cara untuk berhubung atau berinteraksi dengan Tuhan. Maka terpaksalah mereka menanggung dan memendam rasa mabuk dan rindu itu. Mereka seolaholah orang yang begitu dahaga tetapi tidak mendapat air untuk diminum. Mereka seperti orang yang tersangat lapar tetapi tidak ada apa untuk dimakan. Mereka seperti orang yang sangat rindukan Kekasih Agungnya tetapi tidak dapat bersua dan bertemu untuk memuji-muji dan meluahkan segala perasaan yang terpendam dan terbuku di hati. Allah biarkan sahaja mereka jadi begitu.

Hanya pada tahun yang kesebelas, baru berlaku peristiwa Israk Mikraj. Jadi, hanya pada tahun kesebelas baru datang perintah solat. Itulah satu hadiah yang tersangat besar yang Allah kurniakan kepada para Sahabat supaya mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan-Nya. Supaya mereka dapat melepaskan segala perasaan rindu dan dendam yang selama ini mereka tanggung. Supaya mereka dapat mengadu, berbicara, berbisik-bisik dan meminta-minta kepada Tuhan. Supaya mereka dapat meluahkan segala isi hati mereka dan bermanjamanja dengan Tuhan. Sungguh solat itu satu kurniaan yang amat besar bagi para Sahabat. la ibarat air di kala dahaga. la ibarat makanan di kala lapar. la ibarat pertemuan dengan kekasih yang sangat dirindukan.

Solat menjadi buah hati Rasulullah dan para Sahabat. Solat adalah kerehatan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sembahyang adalah penyejuk mataku. " Baginda juga pernah menyuruh Sayidina Bilal r.a. untuk azan dengan berkata: "Wahai Bilal, berilah kerehatan kepada kita semua!"

Demikianlah kedudukan solat di hati Rasul dan para Sahabat. Tidak hairanlah mereka tenggelam di dalam solat. Mereka 'mikraj' di dalam solat. Tidak hairan juga, ketika solat, mereka lupa tentang dunia ini dan segala isinya sama ada yang berupa nikmat mahupun kesusahan dunia. Mereka asyik dan masyuk dengan Tuhan dalam solat. Sayidina Ali k.w. lantaran khusyuknya di dalam solat, tidak terasa apa-apa ketika dicabut anak panah dari betisnya.

Solat mereka yang sebeginilah yang telah menjadikan mereka peribadi-peribadi agung. Agung keimanan mereka. Agung keyakinan mereka dan agung akhlak mereka. Allah kurniakan kepada mereka 3/4 dunia dan semua bangsa bernaung di bawah kekuasaan mereka. Mereka membawa kedamaian dan keselamatan. Mereka penuhi dunia ini dengan keadilan dan kebahagiaan.

Di sini kita sungguhsungguh dapat melihat pendidikan Rasulullah, awaludin makrifatullah. Awal-awal agama mengenal Allah. Para Sahabat dikenalkan kepada Allah hingga mereka menjadi orang-orang yang arifbillah, iaitu orang-orang yang sangat takut, cinta dan rindu kepada Allah dan orang-orang yang mabuk dengan Allah. Dalam keadaan begitulah baru mereka diperintah bersolat dan menegakkan syariat Allah yang mana keseluruhan perintah syariat itu diturunkan di Madinah itu hanya memakan masa 10 tahun, berbanding memperkenalkan Tuhan selama 13 tahun di Makkah. Orang-orang yang menegakkan syariat Allah di Madinah itu sebenarnya ialah orang-orang yang takut, cinta dan mabuk dengan Tuhan. Orang-orang yang arifbillah. Hanya orang-orang seperti ini sahaja yang mampu menegakkan syariat Allah. Yang mampu memperjuangkan agama Allah. Yang mampu berkorban ke jalan Allah.

Itulah kelemahan umat Islam hari ini. Setakat tahu tentang Tuhan. Setakat ada ilmu tentang Tuhan. Setakat alimbillah. Tuhan masih di akal, belum di hati. Belum ada rasa bertuhan. Belum ada rasa kehambaan. Jauh sekali rasa takut rindu dan cinta pada Tuhan. Lebih-lebih lagi belum mabuk dengan Tuhan. Dalam pada itu, mereka disogok dengan solat dan syariat. Disuruh dirikan solat. Disuruh tegakkan syariat. Diperkenalkan hukum hudud dan sebagainya.

Orang yang belum kenal Tuhan dan orang yang tidak ada rasa takut dan cinta pada Tuhan, tidak akan mampu mendirikan solat dan menegakkan syariat. Kalau pun mereka berbuat, ia secara terpaksa. Buat kerja secara terpaksa memang pahit, sakit dan perit. Sukar untuk istiqomah.

Kenapa tidak dibawa Tuhan kepada mereka? Kenapa tidak perkenalkan Tuhan kepada mereka? Kalau manusia betul-betul kenal Tuhan, mereka tidak akan dapat mengelak diri dari jatuh cinta dan rindu kepada-Nya. Mereka tidak akan dapat mengelak diri dari mahu berbakti kepada-Nya untuk merebut cinta dan kasih sayang-Nya. Bagaimana boleh kita tidak sayang dan tidak jatuh hati kepada Allah yang begitu berbakti, begitu menjaga, begitu mengawasi dan memenuhi segala kehendak dan keperluan kita. Yang penuh kasih dan belas kasihan kepada kita. Yang menyayangi kita lebih dari ibu kits sendiri. Yang menjaga kita siang dan malam tanpa rehat dan tanpa tidur. Yang tidak pernah melupakan kita.

Marilah kita kembalikan manusia kepada Tuhan. Marilah kita perkenalkan Tuhan itu kepada manusia supaya manusia kenal akan Tuhan. Kerana awal-awal agama mengenal Tuhan. Selagi kita belum kenal Tuhan, selagi itu kita belum mampu untuk beragama atau untuk menegakkan agama.


Mengenal Tuhan itu tidak cukup sekadar tahu tentang Tuhan atau tahu tentang sifat-sifat Tuhan secara ilmunya, tetapi ialah merasakannya di hati. Hati rasa bertuhan, hati merasa Tuhan sentiasa melihat, hati merasa Tuhan itu Maha Mendengar, hati merasakan Tuhan itu berkuasa berbuat apa saja kepada makhluk-Nya, hati merasakan Tuhan itu pengasih dan penyayang yang sentiasa mencurahkan rezeki kepada makhluk-Nya.

Setelah hati ada rasa bertuhan, secara automatik hati akan dipenuhi rasa kehambaan, iaitu rasa lemah, rasa berdosa, rasa bergantung kepada-Nya. Hati rasa takut dan cinta dengan Tuhan sepertimana yang dirasakan oleh para Sahabat yang dididik oleh Rasulullah lebih 1400 tahun dahulu.


-NZ-








Wednesday, September 30, 2015

Facebook tidak menggambarkan kehidupan sebenar kita



Biasa tak tengok orang post gambar tengah makan kat restoran mewah dengan suami, bahagia bercuti kat luar negara dengan keluarga. Biasa kan?
Bila tengok, apa kita rasa?
Salah satu sebab kenapa ramai orang stress hari ni adalah bila mereka mula membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain di media sosial.
Manusia selalunya percaya apa yang mereka nampak di media sosial adalah gambaran sebenar kehidupan sesorang.
Ini pesan sifu saya, Faisal Abdullah.
.
“Apa yang kita nampak di media sosial tak menggambarkan kehidupan lengkap mereka. Kita cuma nampak apa yang telah dipilih, disusun dan diatur untuk ditunjukkan ke dunia.”
.
Kadang-kadang, saya rasa bersalah bila orang cakap, “Kalaulah aku boleh jadi macam Da’i Izzhar, mesti best.”
Seolah-olah saya ada kehidupan yang sangat sempurna!
.
Berapa ramai yang tahu selama ini saya ke sri pentas untuk mengacara MHI dengan motor Honda kapcai?
Berapa ramai yang tahu saya pernah solat subuh tepi jalan raya sebab motor rosak dan saya ada 7 minit lagi nak On Air?
Berapa ramai yang tahu lepas habis ceramah waktu malam saya tersadai tepi jalan sampai 3 pagi sebab dah tak larat nak drive balik rumah?
.
Sebab disebalik apa yang kita nampak, sebenarnya banyak lagi yang kita tak nampak.
Status-status ceria di wall tak semestinya menggambarkan kawan kita itu punyai kehidupan yang bahagia sempurna.
Lambakan gambar kucing comel di wall tak bermaksud mereka tak kisah tentang isu semasa.
.
Tak perlu salahkan takdir "Kenapa hidup aku tak best macam orang lain?".
Jangan terlalu bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Cerita hidup kita dan mereka tak sama. Kesusahan dan keperitan yang dilalui jauh berbeza.
Sebenarnya, hari ni juga kita boleh mula tulis skrip kehidupan yang kita idamkan. Mulakan dengan syukuri apa kita ada, teruskan usaha untuk tingkatkan kualiti hidup kita.
Chaiyok!

Izzhar Nazri.
Pelajar Tahun Akhir,
Ijazah Sarjana Muda Psikologi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sumber: https://www.facebook.com/izzhar.nazri

Ku Mohon : Tuhan berikan aku CINTA




Bila tiba ketentuan,saat kita berada diakhir kehidupan.. 
Bernilaikah segala kemewahan??
Bernilaikah segala perhiasan??

Mungkin kita lupa, yang kita lahir didunia ini dalam keadaan jahil dan miskin..
Tanpa sebarang pengetahuan,
Tanpa secebis kain pun menutupi tubuh kita..

Lalu kita dikurniakan dngan pendengaran dan penglihatan, hati serta akal fikiran..
Untuk apa semua ini??
Supaya kita bersyukur..
Supaya kita bersyukur…
Supaya kita bersyukur…
Kita lupa yang kita lahir dari setitis air yang hina..
Kita sendiri yang rasa jijik dengannya..

“Bukankah kami menciptakan kamu dari air yang hina (mani)”
[Al Mursalat 77 : 20]

Beringatlah tentang hakikat diri..
Asal usul kita..
Jangan kita asyik mendongak ke awan..
Terlalu nak menggapai bintang dan bulan..
Sehingga kita lupa siapa Pencipta nya..

Ramai yang tak bernasib baik..
Ramai yang memerlukan pertolongan..
Tiada ibu ayah untuk mereka sandarkan kasih dan sayang..
Tak punya bumbung yang selesa tempat untuk berteduh hujan dan panas..
Tak punyai makanan yang cukup untuk mengisi perut yang kelaparan..
Bukan saja dari makanan..tak ada siapa yang membantu mereka ketika mereka diuji  dan diduga..

“ Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan….”
[Al Baqarah 2 : 155]


Dan siapa kita utnuk menilai??
Bukalah mata,
Bukalah hati..
Bukankah cukup apa yang kita miliki sekarang??

Dekatkanlah diri.
Mohon supaya dilembutkan hati untuk merasai..
Dikurniakan jiwa untuk memahami..
Agar tersemat Wasatiah dan Qanaah ke dalam diri kita..
Ingatlah bahawa hati nyawa,jodoh,harta, rezeki, iman taqwa dan keihlasan…
Bukan milik kita…
Bukan dari kita…
Ianya milikMU Ya Rabb
Semuanya milik Allah..
Ianya dari MU Ya Rabb..

“Wahai Tuhan yang Esa, tak terdaya kami melainkan kmampuan yang sudi engkau pinjamkan. Tak terdetik rasa kecintaan melainkan engkau mengiinkan kami merasainya..Takkan termampu melainkan rahmat dan keampunan yang engkau curahkan kepada kami. Jadi aku mohon… Tuhan berikan aku cinta…”

“Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfaqkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infaqkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui..”
[Ali ‘Imran 3: 92]


By : Nzinnirah

















Tuesday, March 10, 2015

Seuntai Doa Buat Sahabat




“Ibu, rasanya semua dah siap kemas, InsyaAllah, bolehlah kita berangkat sekarang. Ayah pun dah tunggu dalam kereta tu”. Beritahu Rafiq pada orang tuanya.
Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang dilekatkan di sudut bacaan, ditinggalkan sahaja, agar dapat memberi manfaat kepada penghuni yang baru.
Ditatapinya buat kali terakhir. Bilik A-32; bilik yang menyimpan seribu satu kenangan. Diuji dengan pelbagai dugaan semata-mata untuk menjadi seorang daie, untuk meneruskan amanah dan perjuangan Baginda. Namun, dia sedar. Hidayah milik Allah. Dia hanya mampu melakukan yang terdaya, dalam usaha mentarbiah ahli-ahli biliknya.
Lidahnya basah dengan dakwah. Namun, mungkin sahaja dia yang bersalah. Mungkin sahaja method dakwahnya tidak berkesan. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam dirinya. Hanya doa yang akan mengiringi mereka selepas ini. Semoga mereka sentiasa dilindungi Allah.
Sudah 3 tahun Raqib menghuni bilik tersebut. Perasaan sayu bertandang di lubuk hatinya. Sedih. Kini, dia terpaksa meninggalkan bilik itu, kerana sudah tamat pengajian. Mungkin juga untuk selama-lamanya.
* Bertamu Sebuah Memori *
“Ayah, boleh tak, singgah surau? Raqib nak letak buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim. Dah lama rasanya buku ini bersama Raqib”. Pinta Raqib pada ayahnya.
Semoga ianya mampu membuka hati sesiapa sahaja yang membacanya, agar tidak pernah jemu dalam usaha untuk menyebarkan dakwah dan islah sesama manusia. Tidak kira non-muslim atau muslim. Semoga bermanfaat. Itulah niat dan keikhlasan hatinya.
Dia teringat pesan Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda, “Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seseorang lantaran kamu, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (hadis riwayat Tabrani)
Ayah tersenyum. Manis senyumannya. Dia memperlahankan kereta lalu membelok ke kiri menuju ke surau Al-Falah.
Raqib merenung sudut kiri di hadapan surau tersebut. Butir-butir kristal mula memenuhi kelopak matanya. Namun, ditahan juga, bak empangan yang menakung tadahan. Fikirannya mula terbang melewati episod-episod perjuangan bersama sahabat-sahabatnya. Di situlah tempat Raqib menjalinkan ukhwah bersama-sama sahabatnya. Banyak masanya dihabiskan di situ.
Semuanya terjalin kerana Allah. Daripada usrah, halaqoh, tazkirah, sehinggalah Majlis Ilmu, dan pelbagai lagi proses tarbiah dilakukan. Berat sekali hatinya untuk meninggalkan surau tersebut. Semuanya syabab yang dahagakan ilmu, yang sering meniti dibibir-bibir mereka dengan kalimah memuji kebesaran Rab.
Terlintas kata-kata gurunya sewaktu pengajian dulu.
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”(At-Taubah 9:18)
Sering sahaja mereka mengingatkan antara satu sama lain, tentang kelebihan solat berjemaah. Tidak dilupakan juga untuk mengejut sahabat-sahabat ke surau, terutamanya waktu Subuh. Zikir-zikir mengingati Allah juga tidak ketinggalan untuk mereka lafazkan sesama mereka. Solat dhuha, Solat tahajud. Semuanya dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah, serta bimbingan sahabat-sahabat yang sentiasa memperingat antara satu sama lain. Penghayatan akidah juga ditekankan, agar hubungan mantap dengan Rab. Namun, segalanya hanya tinggal memori.
“Ya Allah, berilah kekuatan kepada sahabat-sahabatku, agar mereka sentiasa mampu mengingatiMu. Mungkin sahaja di sini, terdapat rakan-rakan yang mampu mengingatkan kami, satu sama lain. Namun, aku sedar, dugaan diluar lebih besar cabarannya. Teguhkan iman kami, supaya sentiasa berada dalam rahmat-Mu.” Bisiknya di dalamm hati.
Rafiq merenung jauh. Pandangannya melintasi perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat dan syuhada di dalam mengembangkan syiar Islam. Janggutnya mula dibasahi air mata yang bercucuran.
Raqib begitu risau akan sahabat-sahabat seperjuangannya. Mampukah mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, ketika mereka berada di dunia yang nyata, yang sudah semestinya penuh dengan pancaroba?
* Segalanya Berbeza *
“Semuanya dah berubah, dahulu makmum aku hanya sahabat-sahabat sebayaku, tetapi, sekarang…” Dia bermonolog.
Raqib mengerutkan dahinya. Istighfar membasahi bibirnya. Dia tetap ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.
Tidak dinafikan, di mana-mana sahaja surau, pasti hanya akan dipenuhi oleh orang-orang tua sahaja. Adakah surau hanya menjadi tempat-tempat bagi hambaNya yang sudah berusia sahaja?
Segala bisikan syaitan tidak diendahkan. Raqib sentiasa perlu bermujahadah. Mungkin sahaja dia menjadi orang asing di dalam rumah Allah itu, kerana hanya dia sahaja anak muda didalamnya.
Sama juga keadaannya ketika waktu Subuh. Mampukah sahabat-sahabatku bermujahadah untuk berjemaah di surau? Mampukah mereka bangun tatkala manusia lain sedang enak dibuai mimpi, semata-mata untuk melakukan tahajud seperti dahulu? Mampukah mereka meluangkan sedikit sahaja masa untuk melakukan solat Dhuha, seperti juga di kolej dahulu?
Raqib sentiasa husnuzzon dengan sahabat-sahabatnya. Dia tawaduk, menadah tangan mengharapkan rahmat Allah. Hari-hari yang dilalui penuh dengan muhasabah.
“Ya Allah, sesungguhnya hambaMu ini merendahkan diri serendah-rendahnya dihadapanMu. Aku memohon keampunan dariMu. Aku hamba yang banyak melakukan dosa. Jauh sekali untuk menjadi sempurna, bahkan untuk mengharapkan balasan syurgaMu. Aku seringkali tewas dengan hawa nafsu, namun aku juga sentiasa bersyukur kepadaMu kerana Kau masih memberikan aku sinar harapan, peluang untuk sentiasa beribadah kepadaMu. Semuanya atas keizinanmu, ya Allah. Aku bukanlah seorang yang banyak ilmu, tetapi setitis kesedaran yang diberikan Kau takkan ku persia-siakan.”
“Bimbinglah sahabat-sahabatku. Semoga mereka sentiasa bermujahadah, meniti hari-hari yang mendatang. Aku tidak mampu untuk berada bersama-sama mereka selama-lamanya, untuk saling memperingati antara satu sama lain. Hanya Kaulah tempat aku berharap, agar Kau sentiasa bersama-sama sahabatku. Berikanlah kekuatan untuk mereka istiqamah, dalam usaha menjadi hambaMu yang bertaqwa”. Panjang munajatnya memohon kepada Allah.
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).” (Az-Zukhruf 43:67)
“Semuanya dah berubah, dahulu makmum aku hanya sahabat-sahabat sebayaku, tetapi, sekarang…” Dia bermonolog.
Rafiq menarik nafas perlahan. Kedengaran hembusan kecil dari mulutnya. Kemudian istighfar membasahi bibirnya. Dia tetap ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.

Hidayah Allah Melalui Perantaraan Insan




Seorang hamba Allah pernah cakap dekat saya “Beruntunglah orang yang diberikan hidayah oleh Allah, sebab bukan semua orang dapat..” Ya, saya bersyukur. bersyukur sebab saya adalah antara hamba Allah yang dapat hidayah untuk berubah ke arah yang lebih baik. Dulu saya tak patuh perintah Allah, banyak sangat langgar perintah Allah. Walaupun mak dan abah selalu pesan dekat diri saya supaya patuh dengan perintah Allah, tapi saya degil.
     Dan.. Takdir Allah telah tertulis bahawa saya akan kehilangan seorang sahabat yang sangat saya sayang pada 3 tahun lepas. Kisahnya bermula di waktu saya leka dengan kehidupan dunia.. Allah pertemukan saya dengan seorang hamba Allah, iaitu seorang Adam. Bila terpandangkan wajah beliau, sejuk rasa hati saya. Kami jadi rapat & saya selesa berkawan dengan beliau kerana sikapnya yang selalu menasihati saya tentang hal agama. Kadang-kadang saya tertanya dalam diri, dalam banyak-banyak wanita, kenapa mesti saya? Maksud saya, kenapa beliau memilih saya sebagai kawan rapat? Beliau seorang yang berilmu, mempunyai ilmu agama yang tinggi sedangkan saya ketika itu tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak tinggi ilmu agama & memang ketara saya dengan beliau sangat berbeza. Dan.. Pertama kali dalam hidup saya selama 21 tahun saya rasa saya BERSAHABAT KERANA ALLAH. Tapi.. Takdir Allah mengatasi segalanya, satu peristiwa terjadi (tak perlu saya beritahu apa) dan kami jadi renggang.
     Saya bagaikan hilang arah selepas saya kehilangan beliau di sisi. Macam-macam perasaan dalam hati saya ini. Sedih, sebak, rindu. Saya selalu cakap saya redha dengan semua ini tapi kadang-kadang saya rasa saya tak redha pun sebenarnya, saya cuma PASRAH. Lebih kurang 2 bulan selepas kehilangan dia, tiba-tiba ada satu aura dan semangat yang muncul dalam diri saya. Ya, semangat untuk mengubah diri saya menjadi lebih baik. Bila saya ingat nasihat-nasihat beliau, saya akan jadi bersemangat. Saya cakap dengan diri saya sendiri “walaupun tanpa dia di sisi, aku kena teruskan hidup. aku tidak mahu kembali kepada aku yang dulu. Kalau aku kembali kepada diri aku yang dulu, maknanya aku telah tewas. Allah akan murka terhadap aku dan hamba Allah yang membantu aku berubah itu pun pasti sedih..”. Saya cuba fikir positif, mungkin Allah pertemukan saya dengan beliau hanya untuk bantu saya berubah. Saya kena bersyukur walaupun sedetik cuma.
     Selepas daripada insiden itu, saya mula berhijab.  Walaupun tak sempurna sepenuhnya, tapi saya belajar sikit sikit untuk berubah. Saya rajin ke kedai buku dan cari buku-buku agama, saya dengar ceramah orang yang berilmu seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don, Kak Dina(Wardina), Kak Ija (Heliza), Kak Nana (Diana Amir) dan ramai lg, saya pergi kuliah di masjid, saya kawan dengan orang yang baik-baik, saya mula labuhkan tudung menutupi dada dan saya mula pakai stokin. Saya belajar erti redha dengan ketentuan Allah. Kalau rasa rindu menerjah, saya hanya membiarkan pena menulis rasa hati saya waktu itu di dalam buku. biarlah perasaan itu terbuku di hati. Saya selalu ingatkan diri saya tentang mati. andai kata nyawa saya dicabut ketika saya sedang nyenyak tidur sebelum sempat bertaubat, apa akan jadi dengan nasib saya di akhirat kelak? Saya taknak masuk neraka jahannam. NAUZUBILLAH.
Dan Alhamdulillah.. setelah 3 tahun 1 bulan. Inilah saya..
     Inilah saya sekarang, yang sedang menaip entri ini. Syukur kepada Allah, saya masih mencuba untuk menjadi muslimah yang sejati. Bila kita cuba untuk berubah jadi lebih baik, Allah akan permudahkan.. Allah akan hantar orang-orang yang baik kepada kita untuk memudahkan proses perubahan kita itu. Saya tidak pernah berhenti bersyukur sebab Allah beri saya hidayah. Ada orang dapat hidayah untuk berubah setelah dapat mimpi, kemalangan dan lain-lain. Tapi saya berbeza. Allah pertemukan saya dengan seseorang dan saya kehilangan dia. Saya belajar sesuatu, bila kita hilang seseorang, ia bukan mengajar kita erti lemah atau kecewa. Tapi ia mengajar kita kuat. Kuat untuk menghadapi kehilangan itu. andai kita lemah dan terlalu melayankan sangat perasaan kehilangan itu, kita akan jatuh tersungkur. Tapi andai kita belajar dari kesilapan yang lalu dan muhasabah diri sendiri, in shaa Allah.. Allah bantu kita merawat luka di hati.
     Kawan-kawan saya ramai yang ‘heartbroken’ lepas itu mengadu dekat saya yang ‘heartbroken’ penyakit yang tiada ubat dalam dunia ini. Saya nak kongsi dengan anda apa sahabat saya cakap dekat saya dulu waktu saya tengah sakit hati, sakit jiwa. “Siapa cakap sakit hati tiada ubat? Ada.. KEMBALI KEPADA ALLAH. Allah yang ciptakan rasa sakit hati dan kecewa itu, dan Dia juga lah yang akan bantu kita selesaikan semua permasalahan itu, in shaa Allah”. Jadinya, siapa kata ‘heartbroken’  tiada ubat? :)
     Saya redha dengan “KEHILANGAN” ini. Saya anggap ia satu ujian daripada Allah untuk saya. saya redha. Saya mendapat berita bahawa sahabat saya itu akan bernikah pada bulan Februari nanti. Alhamdulillah. Untukmu sahabatku, di mana jua awak berada.. doa saya sentiasa mengiringi awak. saya doakan awak bahagia di dunia & juga di akhirat. In shaa Allah sampai ke syurga. Terima kasih untuk segalanya, jasa baik awak membantu saya berubah, saya tidak akan dapat membalasnya kerana terlalu besar nilainya tetapi hanya Allah yang mampu dan layak membalasnya. Barakallahu Fik. :)
     Kadang-kadang dalam hidup ini, kita kena ambil sedikit masa untuk duduk bersendirian dan muhasabah diri sendiri. Selama kita hidup, apa yang kita buat? Ada tak kita sedekah, berbakti kepada kedua ibu bapa, patuh kepada perintah Allah? Ada tak kita maafkan orang & minta maaf dekat orang sebelum kita tidur? Muhasabah diri itu perlu untuk menjadikan kita insan yang lebih baik. Alhamdulillah, saya rasa sangat bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya ada Allah yang sentiasa di sisi saya. saya tidak keseorangan. “Andainya manusia tahu akan kemanisan iman, pastinya kemanisan dunia akan terhapus”.
     Kita selalu cakap kita nak suami isteri yang soleh solehah. Tapi, pernah tak kita cuba untuk mengubah diri jadi soleh dan solehah? Yakinlah akan janji Allah, orang yang baik untuk orang yang baik & begitulah sebaliknya. Kalau kita nak orang yang baik, kita sendiri perlu mengubah diri kita jadi lebih baik. Kalau tak, macam mana Allah nak bagi kita org yang baik? Lagi satu, berubahlah kerana Allah, bukan kerana manusia. Sebab kalau kita berubah kerana manusia, ianya adalah bersifat sementara. Tetapi kalau kita berubah kerana Allah, in shaa Allah ia kekal selamanya.
     Kepada sahabat-sahabat saya yang sedang berjuang ke jalan Allah, saya doakan kita semua berjaya dan dapat bertemu berpimpin tangan ke Jannah Allah.. Dan buat sahabat-sahabat saya yang masih tercari-cari erti hidup berlandaskan syariat Allah ini, saya doakan semoga anda semua memperoleh hidayah & rahmat dari Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. Sesungguhnya hidayah Allah itu terbentang luas, raih lah ia sebelum ia pergi meninggalkan kita. Kepada kaum muslimah, jom kita hijabkan diri, hijabkan hati! Tahu tak wanita yang memakai hijab sangat cantik? SUBHANALLAH MAHA SUCI ALLAH.
HIDAYAH ALLAH KITA KENA CARI, IA TAK DATANG BERGOLEK. REMEMBER.
Daripada Rasulullah S.A.W : “Jika kita mengejar dunia, dunia akan lari meninggalkan kita. Tetapi jika kita kejar akhirat, dunia akan sujud pada kita.” Sama-samalah kita renungkan…