Seorang hamba Allah pernah cakap dekat saya “Beruntunglah orang yang diberikan hidayah oleh Allah, sebab bukan semua orang dapat..” Ya, saya bersyukur. bersyukur sebab saya adalah antara hamba Allah yang dapat hidayah untuk berubah ke arah yang lebih baik. Dulu saya tak patuh perintah Allah, banyak sangat langgar perintah Allah. Walaupun mak dan abah selalu pesan dekat diri saya supaya patuh dengan perintah Allah, tapi saya degil.
Dan.. Takdir Allah telah tertulis bahawa saya akan kehilangan seorang sahabat yang sangat saya sayang pada 3 tahun lepas. Kisahnya bermula di waktu saya leka dengan kehidupan dunia.. Allah pertemukan saya dengan seorang hamba Allah, iaitu seorang Adam. Bila terpandangkan wajah beliau, sejuk rasa hati saya. Kami jadi rapat & saya selesa berkawan dengan beliau kerana sikapnya yang selalu menasihati saya tentang hal agama. Kadang-kadang saya tertanya dalam diri, dalam banyak-banyak wanita, kenapa mesti saya? Maksud saya, kenapa beliau memilih saya sebagai kawan rapat? Beliau seorang yang berilmu, mempunyai ilmu agama yang tinggi sedangkan saya ketika itu tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak tinggi ilmu agama & memang ketara saya dengan beliau sangat berbeza. Dan.. Pertama kali dalam hidup saya selama 21 tahun saya rasa saya BERSAHABAT KERANA ALLAH. Tapi.. Takdir Allah mengatasi segalanya, satu peristiwa terjadi (tak perlu saya beritahu apa) dan kami jadi renggang.
Saya bagaikan hilang arah selepas saya kehilangan beliau di sisi. Macam-macam perasaan dalam hati saya ini. Sedih, sebak, rindu. Saya selalu cakap saya redha dengan semua ini tapi kadang-kadang saya rasa saya tak redha pun sebenarnya, saya cuma PASRAH. Lebih kurang 2 bulan selepas kehilangan dia, tiba-tiba ada satu aura dan semangat yang muncul dalam diri saya. Ya, semangat untuk mengubah diri saya menjadi lebih baik. Bila saya ingat nasihat-nasihat beliau, saya akan jadi bersemangat. Saya cakap dengan diri saya sendiri “walaupun tanpa dia di sisi, aku kena teruskan hidup. aku tidak mahu kembali kepada aku yang dulu. Kalau aku kembali kepada diri aku yang dulu, maknanya aku telah tewas. Allah akan murka terhadap aku dan hamba Allah yang membantu aku berubah itu pun pasti sedih..”. Saya cuba fikir positif, mungkin Allah pertemukan saya dengan beliau hanya untuk bantu saya berubah. Saya kena bersyukur walaupun sedetik cuma.
Selepas daripada insiden itu, saya mula berhijab. Walaupun tak sempurna sepenuhnya, tapi saya belajar sikit sikit untuk berubah. Saya rajin ke kedai buku dan cari buku-buku agama, saya dengar ceramah orang yang berilmu seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don, Kak Dina(Wardina), Kak Ija (Heliza), Kak Nana (Diana Amir) dan ramai lg, saya pergi kuliah di masjid, saya kawan dengan orang yang baik-baik, saya mula labuhkan tudung menutupi dada dan saya mula pakai stokin. Saya belajar erti redha dengan ketentuan Allah. Kalau rasa rindu menerjah, saya hanya membiarkan pena menulis rasa hati saya waktu itu di dalam buku. biarlah perasaan itu terbuku di hati. Saya selalu ingatkan diri saya tentang mati. andai kata nyawa saya dicabut ketika saya sedang nyenyak tidur sebelum sempat bertaubat, apa akan jadi dengan nasib saya di akhirat kelak? Saya taknak masuk neraka jahannam. NAUZUBILLAH.
Dan Alhamdulillah.. setelah 3 tahun 1 bulan. Inilah saya..
Inilah saya sekarang, yang sedang menaip entri ini. Syukur kepada Allah, saya masih mencuba untuk menjadi muslimah yang sejati. Bila kita cuba untuk berubah jadi lebih baik, Allah akan permudahkan.. Allah akan hantar orang-orang yang baik kepada kita untuk memudahkan proses perubahan kita itu. Saya tidak pernah berhenti bersyukur sebab Allah beri saya hidayah. Ada orang dapat hidayah untuk berubah setelah dapat mimpi, kemalangan dan lain-lain. Tapi saya berbeza. Allah pertemukan saya dengan seseorang dan saya kehilangan dia. Saya belajar sesuatu, bila kita hilang seseorang, ia bukan mengajar kita erti lemah atau kecewa. Tapi ia mengajar kita kuat. Kuat untuk menghadapi kehilangan itu. andai kita lemah dan terlalu melayankan sangat perasaan kehilangan itu, kita akan jatuh tersungkur. Tapi andai kita belajar dari kesilapan yang lalu dan muhasabah diri sendiri, in shaa Allah.. Allah bantu kita merawat luka di hati.
Kawan-kawan saya ramai yang ‘heartbroken’ lepas itu mengadu dekat saya yang ‘heartbroken’ penyakit yang tiada ubat dalam dunia ini. Saya nak kongsi dengan anda apa sahabat saya cakap dekat saya dulu waktu saya tengah sakit hati, sakit jiwa. “Siapa cakap sakit hati tiada ubat? Ada.. KEMBALI KEPADA ALLAH. Allah yang ciptakan rasa sakit hati dan kecewa itu, dan Dia juga lah yang akan bantu kita selesaikan semua permasalahan itu, in shaa Allah”. Jadinya, siapa kata ‘heartbroken’ tiada ubat?
Saya redha dengan “KEHILANGAN” ini. Saya anggap ia satu ujian daripada Allah untuk saya. saya redha. Saya mendapat berita bahawa sahabat saya itu akan bernikah pada bulan Februari nanti. Alhamdulillah. Untukmu sahabatku, di mana jua awak berada.. doa saya sentiasa mengiringi awak. saya doakan awak bahagia di dunia & juga di akhirat. In shaa Allah sampai ke syurga. Terima kasih untuk segalanya, jasa baik awak membantu saya berubah, saya tidak akan dapat membalasnya kerana terlalu besar nilainya tetapi hanya Allah yang mampu dan layak membalasnya. Barakallahu Fik.
Kadang-kadang dalam hidup ini, kita kena ambil sedikit masa untuk duduk bersendirian dan muhasabah diri sendiri. Selama kita hidup, apa yang kita buat? Ada tak kita sedekah, berbakti kepada kedua ibu bapa, patuh kepada perintah Allah? Ada tak kita maafkan orang & minta maaf dekat orang sebelum kita tidur? Muhasabah diri itu perlu untuk menjadikan kita insan yang lebih baik. Alhamdulillah, saya rasa sangat bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya ada Allah yang sentiasa di sisi saya. saya tidak keseorangan. “Andainya manusia tahu akan kemanisan iman, pastinya kemanisan dunia akan terhapus”.
Kita selalu cakap kita nak suami isteri yang soleh solehah. Tapi, pernah tak kita cuba untuk mengubah diri jadi soleh dan solehah? Yakinlah akan janji Allah, orang yang baik untuk orang yang baik & begitulah sebaliknya. Kalau kita nak orang yang baik, kita sendiri perlu mengubah diri kita jadi lebih baik. Kalau tak, macam mana Allah nak bagi kita org yang baik? Lagi satu, berubahlah kerana Allah, bukan kerana manusia. Sebab kalau kita berubah kerana manusia, ianya adalah bersifat sementara. Tetapi kalau kita berubah kerana Allah, in shaa Allah ia kekal selamanya.
Kepada sahabat-sahabat saya yang sedang berjuang ke jalan Allah, saya doakan kita semua berjaya dan dapat bertemu berpimpin tangan ke Jannah Allah.. Dan buat sahabat-sahabat saya yang masih tercari-cari erti hidup berlandaskan syariat Allah ini, saya doakan semoga anda semua memperoleh hidayah & rahmat dari Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. Sesungguhnya hidayah Allah itu terbentang luas, raih lah ia sebelum ia pergi meninggalkan kita. Kepada kaum muslimah, jom kita hijabkan diri, hijabkan hati! Tahu tak wanita yang memakai hijab sangat cantik? SUBHANALLAH MAHA SUCI ALLAH.
HIDAYAH ALLAH KITA KENA CARI, IA TAK DATANG BERGOLEK. REMEMBER.
Daripada Rasulullah S.A.W : “Jika kita mengejar dunia, dunia akan lari meninggalkan kita. Tetapi jika kita kejar akhirat, dunia akan sujud pada kita.” Sama-samalah kita renungkan…
Dipetik dari: Hidayah Allah Melalui Perantaraan Insan
No comments:
Post a Comment